Sangat-sangat geram dengan mudah.my. Mudah.my tidak lagi menjadi medium periklanan yang memudahkan pengiklan. Mudah.my telah banyak menyusahkan pelanggan mereka, tidak kira sama ada yang berbayar apatah lagi yang tidak berbayar. Perkhidmatan mereka sangat lembap, mempunyai kerenah yang menjengkelkan, selain peraturan yang agak tidak sesuai. Itulah antara luahan yang pernah saya dengar, dan saya bersetuju kerana menghadapi keadaan yang sama.
Kalau pun peraturan yang ditetapkan itu patut begitu, hinggakan iklan ditolak, banyak kali orang yang bertanggungjawab menyemak tersebut sebelum disiarkan, menolak iklan itu dengan mengelaskannya dalam ktegori yang salah, dan yang lebih teruk lagi, sebenarnya iklan itu telah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, namun salah dilihat atau dinilai oleh penyemak.
Dengan sela masa yang diambil sangat panjang antara masa iklan dihantar dengan masa iklan itu disiarkan, kesilapan yang menunjukkan penyemak iklan itu tidak terlatih menyebabkan iklan tertangguh kerana apabila ditolak, pengiklan perlu mengeposkannya semula. Hal ini membuang masa pengiklan kerana setelah diposkan semula, mereka perlu menunggu iklan tersebut disemak sekali lagi sebelum disiarkan. Ada yang mengadu iklan mereka ditolak lebih daripada tiga kali atas alasan yang berbeza-beza, yang kemudiannya didapati alasan mereka untuk menolak iklan itu tidaklah betul.
Selaku pemerhati yang juga pelanggan, saya mencadangkan agar sesiapa yang mempunyai ilmu dalam hal medium periklanan ini, mengadakan medium periklanan baharu yang lebih baik dan yang dapat meraih populariti yang lebih besar daripada mudah.my. Saya kira masalah ketidaksediaan mudah.my memberikan perkhidmatan yang baik membuka peluang kepada kita untuk mengimarahkan dunia periklanan dalam talian, seterusnya mencetuskan persaingan yang menguntungkan pelanggan. Kami memerlukan medium periklanan baharu yang lebih segar, profesional dan benar-benar meMUDAHkan kami.
Sekian.